Jam 6.30 petang. 
Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah. 
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
Mak  jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang  sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak  dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.
 Dua puluh tahun kemudian  Jam 6.30 petang
Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”
.Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah. 
Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?" 
.Ateh menjawab, “Entah.” 
.Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.
.Ayah  tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah  tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.
Tidak  ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana  Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati  Ayah yang mencari-cari di mana Mak.
Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"
Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik. 
.Dulu  anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah.  Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan  pintu. 
.Mereka  akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombr 1 atau kaki melecet main  bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik.  Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap  ketika.
.Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?" Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .
Ayah  berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana  sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak  akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.
.Dari  jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur.  Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum  berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak,  Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.  
.Sampai  di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak.  Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap  bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap  kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat.  Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi  merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu.  Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak  lakukannya.
Lima  buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah.  Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka  warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa  naik kereta anak Mak yang ini.
Baju  mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam  Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah  pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi. 
.Mak  letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh  koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak  suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun  raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham. 
.Semasa  menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata  kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci  kamu ni."
.Sekurang-kurangnya  itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira  menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka  berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak  akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu  sering singgah di kepala Mak.
.Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.
.Selepas  Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan  kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati  anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.
.Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan. 
.Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu. 
.Ayah  temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan  anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu.  Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.
Ayah  tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak  Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung  masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak. 
Ayah  tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab,  "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak  berangkat." 
.Mak  minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik  sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di  hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta.  Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya.  Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.
.Mak  tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata  ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat  saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah  sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa  menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada  peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”
Mak  faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri.  Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati  sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak. 
.Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan. 
.Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.
 Beberapa tahun kemudian   Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.
Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.” 
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit. 
Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi. 
.Dalam  isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa  kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak  boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu  memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa  anak-anak Mak kecil dulu.
Mak  pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di  bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak  dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit  tenat. 
Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.
Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak.. 
Mak  tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu  ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.
Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,
"Mana  Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?"  atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu  dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan  jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap  waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati  anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.
Ayah  sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini  tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan  Adik , "Mana mak?" "
.Kereta  merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang  dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak  untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata  Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh  bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci  buat bekal."
"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh.. 
Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?" 
Ayah  tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun  soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke  akhir usia. 
*Sebuah  cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan  ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila  tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari  ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan  dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila  ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon  panggilan dari ibu tanpa berjawab?